BYD kekal sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia selepas mencatat 1,705 pendaftaran baru pada November 2025, menurut data terbaru JPJ. Setakat ini, BYD merupakan satu-satunya jenama yang telah mencapai jumlah pendaftaran lima angka untuk tahun 2025, dan sasaran itu mula dicapai pada Oktober, seterusnya kini meningkat kepada 11,870 unit sehingga bulan lalu.

Namun yang agak mengejutkan, Tesla berjaya memintas Proton untuk naik ke tempat kedua apabila merekodkan 1,301 pendaftaran pada November. Peningkatan ini jelas didorong oleh penghantaran kuat Model Y. Walaupun begitu, jumlah keseluruhan Tesla setakat tahun ini (5,468 unit) masih berada di belakang Proton.

Bagi pihak Proton sendiri, sebanyak 830 unit didaftarkan pada November, menjadikan jumlah terkumpulnya 7,784 unit. Angka ini termasuk sedikit unit eMas 5 yang baru dilancarkan pada akhir Oktober, manakala majoritinya masih disumbangkan oleh eMas 7.

20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

Dengan kebangkitan Tesla, Zeekr turun ke tangga keempat setelah mencatat 356 pendaftaran pada November, menjadikan jumlah tahunannya 1,718 unit. iCaur pula terus menambah angka meskipun memasuki pasaran agak lewat, dengan 218 unit baru direkodkan pada November untuk mencapai jumlah keseluruhan 565 unit. Xpeng menjadi satu lagi jenama lain yang turut mencapai tiga angka bulan lalu dengan 193 unit, sekaligus membawa jumlah tahunannya kepada 1,334 unit.

Seterusnya, Leapmotor berada di tempat ketujuh dengan 86 unit (437 unit keseluruhan), manakala Maxus turut kekal berada dalam senarai 20 teratas dengan 76 unit, menjadikan jumlah tahunannya 135 unit. BMW melengkapkan senarai 10 teratas bersama 74 pendaftaran (1,368 unit keseluruhan), manakala Denza berada tepat di belakangnya dengan 70 unit dan jumlah terkumpul 1,002 unit.

Di luar kelompok 10 teratas, MG mencatat 64 unit untuk berada di kedudukan ke-11 (534 unit setakat ini). Great Wall Motor pula menikmati bulan terbaiknya tahun ini selepas mencatat 63 pendaftaran, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhannya kepada 361 unit.

20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

MINI berada di tempat ke-13 dengan 58 unit (585 keseluruhan), manakala Porsche menduduki tempat ke-14 dengan 48 unit dan total 655 unit — angka yang turut merangkumi unit recond yang disenaraikan dalam data JPJ.

Jenama smart kembali memasuki senarai 20 teratas dengan 40 pendaftaran pada November untuk berada di tempat ke-15. Lima tempat terakhir diduduki oleh Volvo dengan 36 unit (502 keseluruhan), Dongfeng dengan 35 unit — prestasi bulanan terbaiknya setakat ini — menjadikan jumlah tahunannya 157 unit, diikuti oleh Honda yang kembali tersenarai selepas kali terakhir muncul pada September dengan 33 unit (122 keseluruhan). Chery berada di tempat ke-19 dengan 32 unit (629 keseluruhan), manakala Audi melengkapkan senarai dengan 20 unit dan jumlah terkumpul 99 unit.

The post 20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: