Sempena dengan cuti perayaan Krismas, cuti persekolahan dan juga Tahun Baharu 2026, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik akan mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak di rangkaian lebuhraya kendalian iaitu di Lebuhraya Utara-Selaran dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 19, 20, 22, 23 24, 26 dan 27 Disember 2025 dan 2 Januari 2026.

Bagi mengurus peningkatan jumlah kenderaan dan melancarkan pergerakan trafik, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 30 lokasi-lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu aliran trafik di lebuh raya sempena musim percutian dan perayaan kali ini. Anda boleh rujuk info grafik di atas untuk mengetahui 30 lokasi untuk Smart Lane berkenaan.

Justeru, PLUS menyaran orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuhraya sepanjang tempoh yang dinyatakan.

30 laluan Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya PLUS, LPT2 sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu 2026
30 laluan Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya PLUS, LPT2 sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu 2026

“MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi aplikasi PLUS bagi memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien dan seterusnya membantu memastikan aliran trafik yang lebih lancar di lebuh raya. Dengan penambahbaikan terbaharu, jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim-musim perayaan, malah pada hari-hari puncak terpilih.

“Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS- TTA untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan LPT2 yang tersedia di aplikasi PLUS bagi perjalanan antara 19 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 akan datang. Aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan App Store,” kata PLUS.

Tambah PLUS, pada masa yang sama, pengguna lebuhraya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X@|pt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.

The post 30 laluan Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya PLUS, LPT2 sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: