Data pendaftaran terkini daripada JPJ menunjukkan beberapa perubahan ketara dalam kedudukan jenama automotif bagi November 2025. Selain empat teratas yang kekal dikuasai dua jenama tempatan dan dua jenama Jepun, serta BYD yang terus melekat di tempat kelima sejak Oktober, bulan ini menyaksikan lonjakan besar daripada Mazda dan Tesla yang mengubah kedudukan masing-masing dengan agak dramatik.

Mazda naik daripada tempat kesembilan pada Oktober kepada tempat keenam November lepas, apabila jumlah pendaftarannya meningkat daripada 849 kepada 1,398 unit. Peningkatan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Mazda telah melancarkan beberapa model baru sejak September, termasuk CX-60 dan CX-80, serta Mazda 3 1.5 High Plus dan BT-50 facelift pada November. Ini juga merupakan bulan terbaik Mazda setakat tahun ini, dan kali pertama ia mencapai jualan empat angka dalam tempoh 2025.

Tesla pula membuat kenaikan paling besar dalam carta apabila melonjak dari kedudukan ke-19 ke tempat ketujuh dengan 1,301 unit didaftarkan pada November, berbanding hanya 320 unit pada bulan sebelumnya. Walaupun prestasi Tesla sepanjang tahun ini tidak menentu, November ternyata menjadi bulan terbaiknya setakat ini.

20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

Sementara itu, Chery yang sebelum ini sering berada di kedudukan kelima atau keenam, terpaksa akur berada di tempat kesembilan apabila mencatat 1,069 unit — jauh lebih rendah berbanding rekod tertingginya iaitu 1,735 unit pada Ogos.

Rakan sekumpulan Chery, iaitu Omoda | Jaecoo, mencatat prestasi sedikit lebih baik dengan 1,092 unit. Mitsubishi pula hanya ketinggalan dua unit di belakang Chery, menjadikannya pesaing rapat dalam kelompok pertengahan carta. Great Wall Motor (GWM) turut mencatat perkembangan positif dengan 642 unit, angka tertinggi jenama itu setakat tahun ini dan meletakkannya betul-betul di luar 10 teratas.

Dengan tinggal hanya satu bulan sebelum 2025 melabuhkan tirai, kedudukan keseluruhan bagi tahun ini semakin jelas. Perodua sedang memburu rekod baru 359,000 unit untuk tahun 2025, dan bagi mencapainya, ia perlu menjual 36,133 unit lagi pada Disember. Proton pula menyasarkan 156,000 unit. Selepas mengambil kira 6,000 unit eksport, jenama nasional itu masih perlu menambah 12,000 unit jualan domestik sebelum tahun berakhir.

20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

Toyota kini berada pada 112,903 unit, manakala Honda di 64,730 unit — angka yang turut dipacu oleh permintaan kukuh terhadap Hilux serta model Alphard terpakai import. Dalam kalangan jenama China, Omoda | Jaecoo berada di depan dengan hampir 16,000 unit setakat ini, jauh meninggalkan BYD yang mencatat 11,870 unit dan Chery yang berada pada 11,458 unit.

Mitsubishi berpotensi menamatkan tahun ini di tempat keenam dengan prestasi kukuhnya, manakala Mercedes-Benz terus mengekang BMW daripada memasuki kelompok 10 teratas dengan 8,195 unit berbanding 6,926 unit bagi pesaing Jermannya itu.

The post 20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: