Kini disahkan bahawa Xpeng akan melakukan pemasangan tempatan (CKD) bagi model G6 SUV, X9 MPV dan juga model baru yang didedahkan X9 PowerX range-extended electric vehicle (REEV) di Malaysia. Dan yang akan menjadi rakan strategik bagi tujuan ini adalah EP Manufacturing Bhd (EPMB) yang terletak di Melaka.
Sebuah pengumuman di Bursa Saham Malaysia hari ini mendedahkan bahawa pengeluaran G6 dan X9 itu dijangka akan dimulakan masing-masing pada 31 Mac dan 25 Mei, dan masing-masing dijangka akan berakhir pada 30 Disember 2027 dan suku pertama 2028.
Pengumuman itu turut menyebut tentang “tawaran pemasangan melibatkan tiga model Xpeng berikutnya (termasuk D02 dan D03)” di Malaysia secara eksklusif, tertakluk kepada terma yang dipersetujui. Tidak banyak yang diketahui tentang D02 dan D03 tersebut; beberapa laporan dalam talian menyebut itu akan menjadi model SUV yang lebih bajet dan menggunakan platform Mona M03.

Sebuah kenyataan bersama yang dikeluarkan juga menyebut: “melalui kerjasama ini, Xpeng akan memanfaatkan kepakaran pemasangan tempatan, kapasiti pengeluaran yang terbukti dan pengetahuan mendalam tentang pasaran oleh EPMB untuk mengilangkan EV pintar yang disesuaikan khusus untuk pengguna di Malaysia dan ASEAN.”
Pada September, EPMB mengeluarkan saham mewakili 30% daripada perkongsian modal yang dikeluarkannya. 15% pergi kepada pemegang taruh terbesarnya, Mutual Concept. Sementara baki 15% pula pergi kepada Bermaz Capital, sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ini bakal menyaksikan syarikat itu memiliki sebanyak 11.54% kepentingan dalam EPMB. Bermaz adalah pengedar kenderaan Xpeng di Malaysia.

Walaupun belum ada pengumuman model mana yang akan dipasang di Malaysia, Xpeng ketika ini menjual model G6 SUV dan X9 MPV di Malaysia — dengan model MPV berkenaan sudah juga mula dipasang di Indonesia.
Bermula sebagai pembekal komponen Tier-1, EPBM kini merupakan pemasang-kontrak bagi kereta-kereta daripada pengeluar seperti Great Wall Motor (GWM), BAIC dan yang akan datang, MG. Ia juga baru memasuki “Fasa 2” — yang melonjakkan kapasiti pengeluarannya daripada 6,000 kepada 30,000 unit pada masa GWM Wey G9 pertama kali dikeluarkan.
The post Xpeng umum EPMB jadi rakan CKD di Malaysia — G6, X9 dan X9 PowerX REEV akan dipasang di Melaka appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






