Dari satu gambar yang dikongsi di laman Facebook Proton S70 Malaysia, beberapa perincian berkaitan Proton S70 facelift yang akan datang (dirujuk sebagai MC atau ‘minor change’) dapat dilihat dengan jelas. Ini datang beberapa bulan selepas versi prototaipnya mula dilihat, dan selepas pengeluarnya mengesahkan sedan berkenaan akan diberikan kemaskini.

Kemaskini pertama untuk S70 ini datang dua tahun selepas ia mula-mula dilancarkan untuk pasaran tempatan pada November 2023. Apa yang dapat dilihat, ia menerapkan perubahan seperti yang terdapat pada Emgrand generasi keempat, yang telah diberi versi facelift pada 2024. Perlu dinyatakan bahawa Emgrand juga telah memasuki model generasi kelimanya bulan lalu, tetapi itu belum lagi tiba di sini.

Perubahan penampilan yang terlibat antaranya di bahagian lampu utama, yang hadir dengan rekaan baru bersama lampu isyarat yang disepadukan, sementara rim yang digunakan nampak sama dengan yang ada pada Emgrand. Sedan ini juga akan menerima warna baru — Ruby Red, yang akan menggantikan warna Passion Red ketika ini.

Proton S70 MC1 2026 dilihat — enjin 1.5L i-GT empat-silinder baru; warna Ruby Red, rim dan lampu baru

Proton telah menyatakan yang S70 MC1 ini akan digerakkan oleh enjin 1.5 liter i-GT turbocas empat-silinder sebaris yang sama dengan X50 terkini, dengan unit BHE15TD tersebut turut akan digunakan untuk X70 dan X90 kelak. Untuk X50, enjin berkenaan menjana sebanyak 181 PS (178 hp atau 133 kW) dan 290 Nm, lebih daripada apa yang dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder semasa S70 yang memberikan angka 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 226 Nm.

Transmisi 7DCT yang digunakan oleh S70 sejak pengenalannya dijangka akan dikekalkan untuk versi facelift ini. Ada khabar angin mengatakan bahawa Proton akan menyertakan juga pilihan enjin NA bagi varian S70 yang lebih rendah, yang akan menjadi penawaran ganti bagi Persona yang akan dihentikan pengeluarannya.

Di China, Emgrand generasi keempat facelift ada ditawarkan dengan enjin berkenaan, iaitu unit 1.5 liter yang menjana sebanyak 126 PS (125 hp atau 93 kW) dan 152 Nm yang digandingkan dengan CVT. Angka ini adalah lebih baik berbanding janaan Persona dengan 1.6 liter NA empat-silinder dan CVT, yang menghasilkan 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 150 Nm.

Turut bertiup di media sosial menyatakan yang S70 MC1 akan dilancarkan bulan depan. Bagaimanapun, Proton belum pernah mengeluarkan sebarang iklan teaser rasmi untuk model ini lagi, setakat ini.

The post Proton S70 MC1 2026 dilihat — enjin 1.5L i-GT empat-silinder baru; warna Ruby Red, rim dan lampu baru appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: