Kami masih lagi berada di Taman Negeri Royal Belum, Perak bagi menyertai sesi pandu uji media untuk Proton Saga MC3 2026. Di kesempatan ini kami sempat duduk bersama beberapa orang pakar produk untuk Saga MC3 untuk bertanyakan dengan lebih teliti berkenaan model ini, dan antara yang paling hangat adalah berkenaan kotak gear CVT keluaran Punch Powertrain yang masih menjadi pilihan Proton bagi dilengkapkan kepada Saga terbaharu ini, secara spesifiknya untuk varian tertinggi Premium.
Kotak gear CVT baharu ini masih menggunakan sistem klac pemula (start-clutch) untuk memindahkan putaran enjin ke transmisi, tidak seperti kotak gear CVT lain yang telahpun beralih menggunakan torque converter bagi tugas tersebut. Jadi apa yang lain dengan kotak gear baharu ini?
Menurut Proton, tidak seperti sebelum ini di mana kotak gear tersebut diterima ‘bulat-bulat’ dari Punch Powertrain sementara Proton hanya melakukakan proses talaan, kotak gear baharu ini pula dihasilkan secara spesifik untuk enjin i-GT BHE15PFI 1.5 liter empat silinder yang digunakan pada Saga MC3.
Enjin baharu ini jauh lebih berkuasa dengan menjana 120 PS dan tork maksima 150 Nm berbanding enjin Campro VVT sebelum ini yang hanya dibekalkan dengan 95 PS/120 Nm, jadi kotak gear baharu ini diberikan agihan nisbah yang lebih luas dari kotak gear sebelum ini.
Kami sendiri dapat rasakan kelainan nisbah kotak gear CVT baharu ini ketika sesi pandu uji di mana pada putaran enjin 2,000 rpm ia memberikan kelajuan sekitar 85 km/j, berbanding hanya sekitar 70 km/j pada Saga CVT 2016 terdahulu. Jadi Saga MC3 Premium ini dapat memberikan NVH yang lebih baik dan juga penggunaan bahan api yang lebih jimat ketika cruising di atas lebuh raya, di mana kelajuan 110 km/j dapat dicapai dengan putaran enjin sekitar 2,800 rpm sahaja.
Kotak gear CVT baharu dengan kod VT3+ ini juga memberikan resposif yang sangat baik. Ia tidak menjadikan enjin meraung tidak tentu hala, tidak terasa sebarang ‘jerk’ ketika mula bergerak. Dan yang paling seronok pada kedudukan gear ‘S’, ia dapat berada pada nisbah yang tepat ketika meredah selekoh pada kelajuan tinggi, sesuai dengan karekter ‘ride & handling’ yang begitu baik pada Saga ini.
Kami juga sempat bertanya, kenapa masih guna klac-pemula dan tidak beralih terus menggunakan torque converter? Proton memberitahu bahawa tork pada enjin i-GT baharu ini sudah sangat sesuai dengan tork pemula, lebih-lebih lagi enjin tersebut memang datang dengan roda tenaga (flywheel) jenis dua jisim (dual mass), jadi ia tidak memerlukan torque converter untuk mula bergerak dengan lancar.
The post Proton Saga MC3 2026 – Proton jelaskan kotak gear Punch CVT baharu tak sama dengan sebelum ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















