Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memperkenalkan Rapid Bulanan iaitu pas perjalanan 30 hari baharu yang menawarkan perjalananan tanpa had merangkumi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL dengan harga RM150 sebulan untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia.
Menurut Prasarana, susulan permintaan pengangkutan awam yang semakin meningkat, termasuk dalam kalangan ekspatriat dan pelawat jangka panjang, pengenalan Rapid Bulanan turut memberi pilihan yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan rel dan bas Rapid KL setiap hari.
Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan pelarasan harga bagi beberapa pas perjalanan Rapid KL yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026. Ia adalah selaras dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam serta keperluan memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang. Kenaikan harga bagi pas perjalanan ini melibatkan Pas Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga. Anda boleh menyemak senarai kenaikan harga terbabit menerusi foto di bawah.

“Pelarasan ini dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian
perkhidmatan dan kos operasi semasa. Walau pun ia dilaksanakan, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian melalui penjimatan yang konsisten, kemudahan perjalanan tanpa had serta pengalaman mobiliti yang terus dipertingkatkan,” kata Pemangku Ketua, Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan, Ashok Panchalingam.
Menurut beliau, langkah ini sejajar dengan transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL yang kini jauh lebih komprehensif berbanding sedekad lalu, termasuk pembukaan Laluan Kajang pada 2016 dan Laluan Putrajaya pada 2022, selain penambahan laluan bas, peluasan liputan kawasan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan.

Pelarasan ini merupakan yang pertama sejak tahun 2009, mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan dari tahun ke tahun, di samping komitment berterusan Prasarana untuk memastikan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Walau bagaimana pun, Prasarana menegaskan bahawa My50, serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra, kekal tanpa sebarang perubahan harga, selaras dengan komitmen berterusan untuk memastikan pengangkutan awam yang mampu milik dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
The post Beberapa pas perjalanan Rapid KL naik harga mulai 1 Jan – Pas Rapid Bulanan untuk rel, bas diperkenalkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






