Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) telah mula melaksanakan ujian ‘dry run’ perkhidmatan Komuter Selatan laluan Kempas Baru – Pasir Gudang bersama pasukan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam, di mana ia turut disertai oleh YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor bersama En. Mohd Fa’iz Salehon selaku CEO PAJ.
Menurut PAJ, ujian ini dijalankan bagi menilai tempoh perjalanan sebenar serta mengukur potensi perkhidmatan ini sebagai alternatif berdaya saing kepada penggunaan kenderaan persendirian. Dan hasil dari ujian tersebut menunjukkan tempoh perjalanan sekitar 35 hingga 40 minit dari Kempas Baru ke Stesen Pasir Gudang hanya mengambil masa sekitar 35 hingga 40 minit, di mana ia disifatkan sebagai satu tempoh yang kompetitif dan lebih konsisten berbanding perjalanan jalan raya yang sering berdepan kesesakan, khususnya pada waktu puncak.
Perbadanan itu juga menyatakan bahawa perkhidmatan Komuter Selatan ini dijangka mula beroperasi pada tahun ini dan bakal menjadi pilihan mobiliti strategik buat warga Johor, terutamanya pekerja sektor perindustrian di Pasir Gudang serta mereka yang berulang-alik ke Bandaraya Johor Bahru.
Penyediaan perkhidmatan Komuter Selatan ini juga merupakan salah satu mod utama dalam strategi penyuraian trafik yang diambil oleh kerajaan Negeri Johor, di mana ia dirangka dengan integrasi bersama rangkaian bas awam sedia ada serta kemudahan park and ride di stesen terpilih bagi memastikan kesinambungan perjalanan yang lebih lancar dan menyeluruh.
PAJ juga menyatakan bahawa inisiatif ini selari dengan agenda Kerajaan Negeri dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Greater Johor Bahru dan Pasir Gudang, selain menyokong pembangunan kawasan Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), serta ia diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, sekali gus menyumbang kepada sistem mobiliti yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan untuk Negeri Johor.
Cadangan untuk mewujudkan Komuter Selatan ini telah disebutkan Fazli pada Disember tahun lalu untuk mengoptimakan penggunaan landasan tunggal sedia ada yang telahpun tersedia tetapi ia hanya digunakan untuk mengangkut barangan. Beliau turut menyatakan projek ini dijangka mampu mengurangkan masalah trafik di Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan kawasan sekitar dan telah mencadangkan stesen penumpang sementara untuk di Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Kampung Pasir Putih, manakala tambang yang dicadangkan adalah sekitar RM3 sehala.
The post Johor mula uji Komuter Selatan – Kempas Baru ke Pasir Gudang hanya 40 minit, operasi mula tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















