Omoda | Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV segmen-B Jaecoo J5 ke pasaran tempatan. Ditawarkan hanya dalam satu varian tunggal yang dipasang secara tempatan (CKD), Jaecoo J5 ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,000. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J5 ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan.
Bagi pelanggan yang membuat tempahan awal iaitu bermula hari ini hingga 15 Mac 2026, J5 ini juga turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” bernilai sehingga RM8,000. Pakej ini merangkumi rebat tunai “duit raya” sebanyak RM3,000, pilihan insurans percuma untuk tahun pertama bernilai RM3,000 ataupun duit raya tambahan sebanyak RM3,000 menjadikan harga jualan lebih murah iaitu RM102,000, serta pakej aksesori bernilai RM2,000. Aksesori yang ditawarkan termasuk subwoofer dalam kabin, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi.
Jaecoo J5 ini sebenarnya model yang berkongsi platform sama dengan Chery Tiggo Cross, namun menampilkan dimensi sedikit berbeza iaitu panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia akan berhadapan terus dengan model-model SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V, menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV dari Proton tersebut.
Jaecoo J5 menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu pada bahagian belakang berbanding Tiggo Cross dan juga kebanyakkan SUV segmen-B lain yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas. Manakala di hadapan ia diberikan konfigurasi topang McPherson.
Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.
Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar Chao Yang Aggressor
ZS03+ bersaiz 235/55R18.
Model pasaran Malaysia ini ditawarkan hanya dalam versi unit rangkaian kuasa petrol sepenuhnya, berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana tahun lalu. Di sini J5 digerakkan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T.
Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dengan kelajuan maksima 175 km/j, dan mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.
Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.
Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.
Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin dan fungsi kunci walk away, penghidup enjin jarak jauh dengan penghidup penghawa dingin, amaran kunci tertinggal di dalam kenderaan, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan bukaan pengesan jarak kunci.
Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini dilengkapi dengan enam-beg udara, sistem kamera pemantau 540-darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar, amaran bukaan pintu tailgate dan bonet hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan pelbagai lagi.
Ia juga disertakan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, lampu tinggi automatik, amaran pelanggaran hadapan cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran mula gerak kenderaan hadapan, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan kesesakan trafik, amaran buka pintu dan pelbagai lagi.
GALERI: Gambar rasmi Jaecoo J5 2026 pasaran Malaysia
The post Jaecoo J5 2026 dilancar di Malaysia – RM102k dengan rebat, CKD, SUV segmen-B, 1.5L Turbo 147 PS, CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























































































































