Honda sah bakal melancarkan model EV baharu yang dikenali sebagai e:N2 di pasaran Thailand, di mana tempahannya di negara tersebut sudahpun dibuka. e:N2 ini merupakan sebuah SUV EV yang telahpun dilancarkan di China pada 2024, dikenali sebagai e:NS2 di sana, dan ia dibangunkan bersama oleh Honda dan Dongfeng. Model yang sama turut akan dilancarkan di Jepun dalam masa tiga bulan akan datang, di mana ia dikenali sebagai Honda Insight pada pasaran tersebut, dan tempahannya akan dibuka pada 19 Mac ini.
Berbanding Honda e:N1 sebelum ini yang bersaing dalam kelas SUV segmen-B (diasaskan dari Honda HR-V), e:N2 ini adalah lebih besar dengan dimensi panjang 4,788 mm, lebar 1,838 mm, tinggi 1,570 mm serta jarak roda sejauh 2,733 mm, membolehkan ia bersaingan kepada model-model segmen-C seperti BYD Atto 3, Geely EX5/Proton eMas 7 dan Leapmotor C10.
Namun ia masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti e:N1 iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm yang memacu roda hadapan, bersama bateri NMC keluaran CATL 68.8 kWj yang didakwa mampu memberikan jarak gerak sejauh 530 km dalam kitaran NEDC (545 km CLTC atau kira-kira 450 km WLTP). Di Jepun, Honda Insight di dakwa mempunyai jarak gerak lebih 500 km dalam kitaran WLTP.
Dari segi rekaan, e:N2 menampilkan rekaan yang sporty yang nampak seperti coupe pembuka pintu belakang yang tersorok, bumbung yang rendah serta bahagian belakang yang nampak seperti sebuah fastback. Ia diberikan muka dengan lampu yang direka tajam dan nipis, serta nyalaan siang LED berbentuk anak panah pada bahagian sisi bersambung dengan jalur menyala yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan.
Model pasaran Thailand ini disahkan akan menerima set rim aloi 18-inci, lampu LED hadapan dan belakang dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan fungsi operasi tanpa sentuhan.
Manakala pada sebelah dalam, ia diberikan liang penghawa dingin seakan merentangi sepenuhnya papan pemuka, ‘bersatu’ dengan paparan instrumen yang nipis bersaiz 9.4-inci serta bersambung terus dengan panel pintu membentuk kabin seperti tab mandi.
Ia turut diberikan skrin utama di tengah yang kelihatan seperti terapung bersaiz 12.8-inci, berfungsi dengan antara muka Honda Connect 4.0 serta disokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Tiada suis kawalan fizikal untuk sistem penghawa dingin kerana semuanya perlu dibuat pada skrin. Pemandu turut menerima paparan head-up 11.5-inci yang dipancar ke cermin hadapan.
Perincian lain yang turut disahkan untuk e:N2 pasaran Thailand ini termasuk sistem pewangi udara, tempat duduk hadapan larasan berkuasa (lapan-hala dengan memori untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang) bersama liang pengalir udara, bumbung suria, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, penghawa dingin dua-zon dengan liang kabin belakang, pad pengecas tanpa wayar dan juga kamera pemantau 360-darjah.
Manakala untuk keselamatan pula ia datang dengan tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan pengekal tengah lorong, pengelak keluar jalan, amaran pergerakan kenderaan hadapan, pemantau titk buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga lampu tinggi automatik.
Honda Thailand mengumumkan bahawa e:N2 akan dijual pada harga anggaran “1,4XX,XXX baht” atau sekitar RM180,000, di mana ia akan diimport sepenuhnya dari China seperti Honda Insight di Jepun. Dengan penawaran model ini di Thailand, boleh jadi e:N2 juga sebenarnya adalah salah satu dari enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia ke pasaran tempatan tahun ini?
The post Honda e:N2 bakal dilancar di Thailand – tempahan sudah dibuka, anggaran RM180k, 530 km NEDC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















