Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah diangkat sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ selaras usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat. Pelantikan tersebut diumumkan menerusi acara pelancaran Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun JPJ ke-80 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pulau Pinang kelmarin.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pelantikan itu dibuat berdasarkan kredibiliti, pengaruh serta penerimaan meluas penyanyi itu dalam kalangan rakyat yang diyakini mampu menyampaikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya secara lebih berkesan dan menyeluruh, laporan Berita Harian.

“Inisiatif ini menzahirkan pendekatan holistik JPJ yang tidak hanya tertumpu penguatkuasaan semata-mata, tetapi turut memberi penekanan elemen advokasi dan pendidikan sebagai strategi dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Peranan dimainkan ikon ini penting dalam memperluas capaian kempen keselamatan serta membentuk sikap dan budaya pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat,” kata JPJ.

Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri diiringi Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli menyerahkan plak kepada Siti Nurhaliza sebagai simbolik pelantikan itu. Siti Nurhaliza turut berterima kasih atas kepercayaan diberikan dan menyifatkan tugas itu sebagai tanggungjawab penting buat dirinya untuk sama-sama mengambil bahagian menyampaikan mesej kesedaran kepada orang ramai menggunakan segala ruang dan platform dimiliki.

The post Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih jadi Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ – bantu sampaikan mesej kesedaran appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: