Kumpulan automotif keempat terbesar di China, Changan Group mensasarkan untuk menjual sebanyak 1.5 juta kenderaan menjelang 2030 diluar pasaran China, dan ia mungkin diperluas sehingga 1.8 juta kenderaan. Tahun lalu Changan yang berjaya menjual sebanyak 637,000 unit kenderaan untuk pasaran luar China, naik 18.9% berbanding tahun sebelumnya apabila ia berjaya masuk ke 21 pasaran baharu, melancarkan 12 model baharu serta kini beroperasi di 118 negara dan rantau menerusi 1,124 unit outlet jualan.
Changan juga kini mempunyai 22 pangkalan untuk fasiliti pengeluaran luar negara dengan kapasiti tahunan gabungan sebanyak 350,000 unit. Menjelang akhir tahun 2025, portfolio model-model global Changan telah berkembang kepada 41 model, termasuk 25 kenderaan yang digerakkan dengan enjin pembakaran dalaman dan 16 kenderaan tenaga baharu (NEV).
Selain sasaran jualan eksport Changan turut berhasrat untuk memperkukuh daya saing merentasi pasaran antarabangsa utama. Cita-cita tersebut termasuk untuk memimpin jenama Cina di Eropah, mencapai kedudukan 5 teratas antara jenama global di Eurasia, dan mencapai skala 10 teratas—dengan cita-cita 5 teratas—di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika, serta Amerika Tengah dan Selatan.
Bagi mencapai semua sasaran ini, Changan telah mengumumkan ini rancangan Vast Ocean Plan 2.0 ketika berlangsungnya Auto China 2026 di Beijing minggu lalu, di mana rancangan yang dikemaskini ini akan menumpukan terhadap beberapa perkara.
Perkara pertama dalam senarai tersebut adalah tingkat taraf teknologi di mana Changan mengambil pendekatan yang lebih berpusatkan pengguna yang tertumpu pada keselamatan, kecekapan dan mobiliti pintar dengan mengintegrasikan unit rangkaian kuasa BlueCore Hybrid dan platform SDA (Software-Defined Architecture) Intelligence dan penyelesaian tenaga generasi akan datang untuk menyampaikan inovasi praktikal dengan nilai dunia sebenar.
Rancangan ini juga akan menumpukan terhadap pembangunan produk di mana Changan akan membangunkan produk bukan berdasarkan permintaan pelanggan dari China semata-mata, sebaliknya ia akan mengutamakan permintaan dan ‘selera’ global dan kemudian akan disesuaikan mengikut rantau. Untuk ini Changan akan menggunakan platform global bagi menghasilkan produk yang laris bertaraf dunia.
Changan juga akan menguatkan posisinya dengan peningkatan teknologi yang ditawarkan, ketahanan dan juga berdasarkan kepercayaan pengguna. Syarikat yang berpengkalan di Chongqing ini juga terbuka untuk bekerjasama dengan jenama-jenama automotif lain dalam aspek termasuk teknologi, pengeluaran dan pembangunan pasaran bagi menawarkan produk yang lebih baik.
Manakala untuk pelaburan, Changan akan mengutamakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan jenama, kemampuan servis, dan juga pembangunan ekosistem. Ia juga mensasarkan untuk menaiktaraf servis yang diberikan kepada pelanggan dengan menambahbaik servis selepas jualan global dengan masa tindak balas yang lebih pantas serta sokongan tempatan yang lebih kuat. Changan turut akan membangunkan pasukan antaranbangsa yang berkemampuan tetapi dengan pemahaman terhadap keperluan tempatan setiap rantau yang lebih mendalam bagi mencapai sasaran yang ditetapkan ini.
Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Changan sah akan bertapak di Malaysia tidak lama lagi dengan pelancaran jenama itu di sini dirancang pada suku ketiga atau keempat tahun ini, dan ia akan membawa sekali beberapa sub-jenamanya seperti Nevo, Deepal dan divisi mewahnya iaitu Avatr.
Untuk pasaran Malaysia kelak, jenama Changan, Nevo dan Deepal akan diletakkan di bawah satu bumbung dan akan dikenali dengan nama Changan, Changan Nevo dan Changan Deepal. Namun untuk Avatr, ia akan dijual menerusi jaringan dan fasiliti berbeza dan berdiri sendiri menggunakan namanya.
Tiada senarai model yang benar-benar disahkan akan dilancarkan ke pasaran tempatan, namun Changan ada menyebut beberapa model yang berpotensi besar akan di bawa ke Malaysia kelak. Antara model-model tersebut adalah SUV Changan CS55 dalam versi enjin pembakaran dalaman dan hibrid, Nevo, Deepal S05 dan Deepal S07. Untuk jenama mewah Avatr pula, model-model yang dijangka akan dibawa adalah Avatr 07 dan Avatr 11.
Changan turut berminat untuk melancarkan trak pikap Hunter di Malaysia, dan apa yang menarik ia bukanlah dari varian enjin diesel, tetapi dalam versi hibrid REEV di mana ia sudahpun dilancarkan di Thailand dengan nama Deepal Hunter K50.
Walaupun buat masa sekarang Changan sudahpun mempunyai fasiliti pemasangan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di Rayong, Thailand yang mula beroperasi pada bulan Mei tahun lalu, bagi memastikan model-model yang dijual di Malaysia dapat dijual pada harga yang kompetitif, syarikat tersebut mensasarkan untuk menjalankan operasi pemasangan tempatannya (CKD) di sini.
The post Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









