Masih ingat lagi ketika Geely memperkenalkan Galaxy L7 di pentas Auto China 2024, yang ketika itu dilihat sebagai bayangan awal kepada Proton X70 generasi baru? Sekarang, dua tahun selepas itu, di lokasi yang sama, tampil pula Boyue L generasi keempat, yang turut dikenali sebagai Starray atau Atlas di pasaran luar China.
Model terbaru ini merupakan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), berbeza dengan sub-jenama Galaxy yang kini dikhususkan untuk model EV dan PHEV. Oleh itu, Boyue L ini dilihat lebih hampir kepada apa yang bakal menjadi pengganti X70 di pasaran tempatan. Ia mula dilancarkan di China pada awal tahun lalu dengan rekaan yang lebih konvensional berbanding model 2023 yang tampil agresif dengan lampu tajam dan gril besar.
Perubahan pada bahagian belakang pula tidak begitu ketara. Ia masih mengekalkan lampu belakang melintang penuh dengan grafik berbentuk anak panah serta spoiler pada pintu but. Hanya bampar bawah diberikan sentuhan baru untuk penampilan yang lebih kemas dan matang.
Model ini terus dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA), dengan dimensi kini berukuran 4,730 mm panjang, 1,910 mm lebar, 1,710 mm tinggi dan jarak roda 2,785 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding generasi sebelumnya, malah jauh lebih besar berbanding X70 semasa dari segi panjang, lebar dan jarak roda.
Perubahan paling ketara dapat dilihat di bahagian dalaman. Papan pemuka direka semula dengan skrin sesentuh 15.4 inci melintang, menggantikan skrin menegak sebelum ini. Corong penghawa dingin sisi kini berbentuk seperti simbol ‘pause’, manakala bahagian tengah menampilkan corong udara berkembar yang lebih nipis. Reka bentuk panel pintu juga diperbaharui dan pad pengecas tanpa wayar kini dipindahkan ke sebelah tuil gear yang lebih kompak.
Head-up display realiti tambahan bersaiz 25.6 inci dan kluster instrumen digital 10.25 inci masih dikekalkan, namun sistem audio kini dipertingkat kepada sehingga 16 pembesar suara berbanding 11 sebelum ini. Dari segi suspensi, ia masih menggunakan tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.
Pilihan enjin juga kekal seperti sebelum ini, iaitu unit 1.5 liter turbo yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, serta enjin 2.0 liter turbo dengan 218 PS dan 325 Nm. Kedua-duanya merupakan enjin empat silinder suntikan terus yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan jenis basah.
Konfigurasi enjin 1.5TD bersama transmisi 7DCT ini dilihat akan terus menjadi tunjang utama bagi model Proton pada masa hadapan. Dengan trend semasa, kebanyakan model enjin pembakaran dalaman Proton dijangka terus menggunakan kapasiti 1.5 liter, termasuk model plug-in hybrid seperti eMas 7.
Dari sudut reka bentuk, bahagian belakang dengan lampu berbentuk anak panah memberikan identiti yang lebih menonjol dan moden. Namun, bahagian hadapan yang kini lebih konservatif mungkin menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya bagi mereka yang menyukai rekaan lebih futuristik pada model terdahulu.
The post Geely Boyue L di China – asas untuk Proton X70 baru? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































