EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan pelancaran Fasa 2 fasiliti pemasangan kenderaannya di Melaka, sekaligus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 6,000 unit kepada 30,000 unit. Pelancaran ini turut disertai dengan pengeluaran rasmi model CKD GWM Wey G9, sebuah MPV mewah plug-in hybrid yang menjadi model terbaru dipasang di sini.
Sebelum ini beroperasi sebagai pembekal komponen Tier-1, EPMB kini bergerak sebagai rakan pemasangan kenderaan bersepadu untuk jenama automotif global. Fasa 1 kilang Melaka dibuka pada suku keempat 2023, dan sejak itu lebih 6,000 unit GWM H6 HEV telah dikeluarkan.
Pada November lalu, pengeluaran perintis untuk BAIC X55 dan BJ40 turut disiapkan, dengan pengeluaran penuh dijadualkan bermula pada Januari 2026. Bagi jenama MG, pengeluaran perintis pula dijangka bermula pada Februari 2026.
Menurut EPMB, keupayaan pemasangan automotif syarikat itu diperkukuh oleh rangkaian kilang pembuatan komponen di Kedah, Perak, Selangor dan Melaka. Fasa 3 juga telah dirancang dan dijangka beroperasi menjelang akhir suku ketiga 2026. Fasiliti ini akan ditambah dengan kemampuan mengecat badan kenderaan secara sendiri, seterusnya meningkatkan aktiviti lokalisasi. Ia akan dibina bersebelahan kilang Fasa 2 di atas tanah tambahan seluas lapan ekar.
“Kami berbangga untuk mengumumkan pelancaran Fasa 2 kemudahan pengeluaran automotif kami di Melaka, yang akan membolehkan kami meningkatkan pengeluaran secara signifikan dan memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi jenama pelanggan kami di Malaysia. Pencapaian mercu tanda ini hanya dapat direalisasikan dengan kepercayaan dan kerjasama rakan kongsi OEM kami — GWM, BAIC dan SAIC, serta dedikasi dan komitmen para pekerja kami,” kata pengerusi eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
Beliau turut menambah bahawa EPMB terus menerima minat daripada lebih banyak pengeluar China yang mencari rakan pemasangan dan pelokalan di Malaysia. Negara ini kini dilihat sebagai hab automotif yang sedang berkembang dan kompetitif dalam rantau Asia Pasifik, khususnya bagi model pemanduan sebelah kanan.
Dengan memperkukuh integrasi bersama rantaian bekalan automotif China yang maju dan berdaya saing, EPMB melihat Melaka sebagai hab pemasangan untuk pengeluar China yang menyasarkan pasaran Malaysia dan ASEAN.
Pada Oktober 2025, EPMB telah dilantik oleh SAIC Motor Malaysia sebagai pemasang kontrak untuk beberapa model MG. Tahun sebelumnya, syarikat itu memperoleh kontrak pemasangan jangka panjang daripada Great Wall Motor dan BAIC, masing-masing untuk tempoh lapan dan 10 tahun.
The post EPMB lancar Fasa 2 kilang pemasangan kenderaan di Melaka – kapasiti 30k, hab CKD kenderaan China appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







