Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka berjaya menahan sebuah MPV Toyota Vellfire yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain dalam satu pemeriksaan di sekitar daerah Melaka.
“Kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan. Hasil semakan lanjut mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan adalah milik sebuah Perodua Kancil. Pemeriksaan seterusnya turut mendapati kenderaan berkenaan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah serta Lesen Kenderaan Motor (LKM/cukai jalan) telah tamat tempoh,” kata JPJ Melaka menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Sehubungan itu, JPJ telah mengeluarkan beberapa saman terhadap pemandu dan pemilik kenderaan atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan, tiada perlindungan insurans yang sah, dan cukai jalan tamat tempoh.
Tambah JPJ, MPV terbabit turut disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“JPJ Negeri Melaka ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya, termasuk memalsukan nombor pendaftaran kenderaan. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi.
The post JPJ Melaka kantoikan Toyota Vellfire yang guna nombor pendaftaran Perodua Kancil – MPV telah disita appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






