Sejak semalam banyak pihak mempertikaikan pelantikan Rider Gate yang bernaung di bawah syarikat Ramssol Group Berhad, selaku ejen pemungut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini mendorong JPJ untuk memberikan penjelasan berhubung isu ini dan berkata pelantikan ejen-ejen pemungut telah dilaksanakan sejak tahun 2016.
“Setakat 9 Disember 2025, JPJ telah melantik sebanyak 10 ejen pemungut. Kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ adalah berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ.
“Ejen-ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ. Sebaliknya, pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ membenarkan perkhidmatan JP untuk ditawarkan di saluran tambahan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Sebagai contoh, katanya, apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ini membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan. Namun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di pejabat JPJ.
“Untuk makluman, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd., serta TNG Sdn. Bhd.
“Pelantikan ejen pemungut ini juga tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan. Mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ. Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, JPJ kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalselian berterusan ke atas semua agen pemungut yang dilantik.
“JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam,” katanya.
The post JPJ tegaskan pelantikan ejen pemungut telah dilaksana sejak 2016 – ada 10 ejen setakat 9 Dis 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









