Tahap pematuhan penggunaan peranti had kelajuan (SLD) fasa 1 membabitkan bas dan kenderaan barangan menunjukkan peningkatan ketara sehingga 48.37% setakat semalam (1 Disember) berbanding 2.68% pada permulaan penguatkuasaan sejak 1 Oktober lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan Bernama.

“Hasil daripada tindakan penguatkuasaan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tahap pematuhan penggunaan SLD fasa 1 meningkat dari 2.68% pada permulaan penguatkuasaan sehingga 48.37%. Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan penguatkuasaan SLD dengan tegas untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta MOT menyatakan maklumat terperinci mengenai peranti SLD.

Tambahnya, pemasangan SLD fasa 1 membabitkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg).

Makin banyak bas dan kenderaan barangan guna peranti had kelajuan; pematuhan naik 48.7% – Loke

“Sehingga 15 November lalu, sebanyak 307 pihak pengesah sudah berdaftar di seluruh negara bagi menjalankan pemasangan serta pengesahan kefungsian SLD,” katanya lagi.

Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan semua pengendali kenderaan berat dan bas perlu mengaktifkan SLD pada kenderaan mereka, kerana penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2026.

SLD merupakan sistem kawalan had laju yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesuatu kenderaan. Ia akan menghalang jenis-jenis kenderaan komersial tertentu daripada dipandu melebihi had yang ditetapkan, iaitu 90 km/j untuk kenderaan berat dan bas. Peranti ini memainkan peranan penting dalam mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.

“Pengilang diwajibkan untuk mengaktifkan SLD mereka agar hanya membolehkan kelajuan maksimum 90 km/j. Walaupun had laju jalan lebih tinggi, contohnya 110 km/j di lebuhraya, SLD masih akan mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 90 km/j,” kata Loke sebelum ini.

The post Makin banyak bas dan kenderaan barangan guna peranti had kelajuan; pematuhan naik 48.7% – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: