Memasuki bulan terakhir 2025, Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan dua model terakhirnya untuk pasaran tempatan hari ini. Satu daripadanya ialah Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC sebagai tambahan varian paling asas terbaru bagi barisan penawaran SUV berkenaan. Ia dijual dengan harga RM329,888 — harga atas jalan, belum termasuk insuran. Varian terbaru ini adalah model pemasangan tempatan di Pekan, Pahang.
SUV ini dilengkapi enjin 2.0 liter twin-scroll turbo dengan sistem gandingan bersama integrated starter-generator (ISG) dan sistem mild-hybrid 48-volt. Ia menghasilkan sebanyak 204 hp pada 5,800 rpm dan 320 Nm tork dari 1,600-4,000 rpm yang disalurkan melalui sistem pacuan semua roda 4MATIC.
Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC terbaru ini mengenakan kemasan gaya badan AMG Line yang tampil sporty. Ini terdiri daripada bahagian apron depan dengan bukaan udara dengan kemasan krom, serta bahagian diffuser AMG di belakang. Selain itu, landasan bumbung aluminium juga menghiasi aspek luarannya — tidak ketinggalan gril corak Mercedes-Benz di depan.
Varian ini menggunakan rim AMG 20-inci lima-jejari. Di belakang, lampu belakang tampil dengan dua bahagian dengan visual tiga-dimensi yang menegaskan lagi kelebaran SUV ini. Ada juga kemasan krom di belakang untuk bahagian muncung ekzos.
Lampu utama GLC 200 4MATIC ini dilengkapi dengan ciri LED High Performance dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Lampu keliling dengan pancaran logo juga menambahkan perincian yang ditawarkan.

Sama seperti di luar, varian ini mengenakan kemasan AMG Line yang tampil sporty. Ini antaranya termasuklah balutan kerusi dari kulit buatan Artico warna hitam, stereng multi-fungsi sport balutan kulit Nappa serta pedal sport AMG.
Kemasan lain terdiri daripada pelapik bumbung Anthracite gelap, sementara konsol tengah pula dalam penyudah logam. Untuk paparan, skrin 12-3-inci beresolusi tinggi terapung yang kelihatan kemas di hadapan pemandu, dengan paparan 11.9-inci di tengah mengisi bahagian tengah papan pemuka — kedua-dua paparan ini disudutkan condong ke arah pemandu untuk lebih memudahkan pemerhatian.
SUV ini juga lengkap dengan ciri MBUX Navigation Premium dan MBUX Augmented Reality Navigation untuk panduan jalan yang lebih kaya. Selain itu, Parking Package dengan kamera 360-darjah dan Active Parking Assist dengan Parktronic memudahkan lagi kendalian.
Ciri lain yang turut tersedia di dalam ialah sistem tanpa kunci, kendalian bebas tangan untuk pintu kargo belakang, pengecas tanpa wayar di depan, serta ada enam slot pengecasan pantas USB-C. Untuk Boot Comfort Package, ia menyertakan sekali ciri lipatan kerusi belakang larasan elektrik dan soket 12 V.
Bantuan pemanduan yang ada termasuklah suspensi Agility Control yang mengimbangkan pengendalian tepat dengan keselesaan, menyesuaikan maklum balas terbaik terutama dalam keadaan permukaan jalan yang berbeza untuk ia kekal stabil dan selesa. Bantuan keselamatan aktif yang melengkapi varian ini pula termasuk Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, sistem PRE-SAFE® dan banyak lagi.
The post Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dilancarkan — varian paling asas, 2.0L <em>mild-hybrid</em>, 204 hp/320 Nm; RM330k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






