1388797753[/caption]
Nissan Serena C28 facelift telah dilancarkan untuk pasaran Jepun, empat tahun selepas model generasi berkenaan berada dalam pasaran. Di Malaysia, Serena C28 pra-facelift pernah ditunjukkan awal bulan ini, dan dijangka akan dilancar pada suku pertama tahun depan.
MPV yang diperkemas ini dibezakan dari versi sebelumnya melalui penampilan wajah depan, yang kini mengenakan corak V dan bukannya garis melintang lagi. DRL LED juga diubah kedudukannya. Selain itu, rim aloi rekaan baru juga diberikan.
Untuk pasaran Jepun, dua pilihan janaan kuasa ditawarkan. Pertama, unit MR20DD 2.0 liter NA petrol janaan 150 PS/200 Nm yang sama dengan model pra-facelift. Kedua, unit HR14DDe e-Power 1.4 liter NA tiga-silinder sebaris yang berfungsi sebagai generator untuk motor elektrik dengan janaan 163 PS/315 Nm (dengan sebuah lagi motor di gandar belakang untuk varian AWD).

Dari maklum balas pelanggan, Serena C28 facelift ini menyertakan juga fungsi memori untuk mod pilihan e-Pedal (pemanduan pedal tunggal), yang membolehkan pemandu mengekalkan mod operasi e-Pedal yang digemari ketika kereta dihidupkan kali yang berikutnya.
Serena C28 facelift dijual di Jepun dalam tingkat kemasan X, Highway Star V dan Luxion — dengan yang terakhir itu adalah untuk versi e-Power. Varian Highway Star V dan Luxion juga menerima penampilan luaran baru, dan juga balutan kerusi baru untuk Luxion yang khusus untuk membezakan penawarannya.
Turut ditawarkan di sana ialah pakej Autech Line yang terdiri daripada rekaan rim 16-inci berlainan, kemasan gril krom hitam di depan, perumah cermin sisi dalam metalik, material kerusi khas dan lencana Autech Line.
Di dalam, Serena C28 facelift terus hadir dengan tujuh atau lapan-tempat duduk bergantung varian. Kini ada juga varian Multi Box dengan empat atau lima-tempat duduk yang menggantikan kerusi barisan ketiga dengan kotak simpanan luas, yang boleh digunakan juga sebagai kerusi panjang atau meja — yang di dalammnya mempunyai banyak pecahan bahagian, yang dilapik dengan alas kalis air Cordura.
Untuk infotainmen, Serena C28 facelift dilengkapi dengan sistem NissanConnect dengan sokongan Google Maps, Google Assistant dan Google Play, dan termasuk fungsi penggera untuk memaklumkan pemandu melalui telefon pintar sekiranya mereka terlupa mengunci kereta, tutup tingkap atau lampu kecemasan dibiarkan terpasang.
Aspek keselamatan pula, model ini datang dengan pengingat penumpang belakang, agar pemandu memeriksa bahagian belakang sebelum meninggalkan kenderaan. Nissan Serena C28 facelift ini akan mula dijual di Jepun pada Februari tahun depan, dengan harga bermula 2,785,200 yen (RM72,990).
The post Nissan Serena C28 facelift 2026 diperkenal di Jepun — janaan 2.0L petrol atau 1.4L e-Power hibrid, dari RM73k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































