Perodua Traz akhirnya dilancarkan secara rasmi semalam selepas sekian lama khabar anginnya bertiup. Apa yang penting, kembar kepada Toyota Yaris Cross itu memasuki pasaran lengkap dengan panarafan lima-bintang ASEAN NCAP.
Traz diberikan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP mengikut protokol 2021-2025. SUV segmen B itu meraih bacaan keseluruhan 86.86 mata, dengan pecahan Adult Occupant Protection (AOP) 30.86 mata daripada 32 (weighted score 38.57), dan Child Occupant Protection dengan 43.89 mata daripada 51 (weighted score 17.21).
Bagi segmen Safety Assist (SA), mata yang diraih ialah 19.5/21 (SA weighted score 18.57), manakala bagi Motorcyclist Safety (MS) ia mencatat 10/16 (MS weighted score 12.5). Ini laporan kedua ASEAN NCAP untuk Perodua yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan, selepas model elektrik QV-E yang turut mencatat penarafan lima-bintang dengan 88.36 mata.
Angka itu lebih tinggi berbanding yang dicapai oleh Traz. Namun, jika dilihat lebih teliti, mata ujian kemalangan bagi Traz (AOP dan COP) adalah lebih tinggi berbanding QV-E, tetapi skor tinggi EV berkenaan untuk dalam SA menjadi kelebihan akhir. Intinya, dua-dua kereta terbabit sangat selamat digunakan.

Sementara itu, makmal MIROS PC3 di Melaka telah juga menguji Toyota Yaris Cross awal tahun ini. Kembar Traz dari Toyota yang dipasang di Indonesia itu mencatatkan bacaan 29.28 mata daripada 32 untuk AOP, 44.17 mata daripada 51 untuk COP, 17.74 mata daripada 21 untuk SA dan 9.76 mata daripada 16 untuk MS — untuk mata keseluruhan 83.02. Menggunakan protokol dan prosedur yang sama, tetapi Traz memperoleh skor lebih tinggi.
Aspek keselamatan Perodua Traz antaranya terdiri daripada enam-beg udara, ciri ASA dengan fungsi seperti amaran perlanggaran dan brek (AEB untuk pejalan kaki), penggera pergerakan kereta depan dan juga kawalan salah operasi pedal, amaran penukaran lorong serta peninjau titik buta.
Model ini dijual dengan harga RM76,100 untuk varian X dan RM81,100 untuk H (RM82k untuk pilihan dua-tona warna). Bagaimanapun, Traz tidak dilengkapi dengan ciri kawalan melayar adaptif (ACC) — atau bahkan cruise control biasa.
Baca lanjut tentang penawaran Perodua Traz ketika pelancarannya di sini.
The post Perodua Traz raih lima-bintang untuk ASEAN NCAP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











