Perodua telah menunjukkan satu lagi iklan teaser bagi model akan datangnya, yang dijangka sebuah crossover segmen B dengan kod nama D66B, yang akan dinamakan Nexis, atau Traz. Imej dalam teaser terbaru ini menunjukkan Nexis/Traz ini dari sudut berlainan. Bentuk umumnya sudah pernah kita lihat, dengan model Toyota Yaris Cross, yang telahpun dilancarkan di Thailand dan Indonesia pada 2023.
Berbanding Yaris Cross, versi Perodua ini seperti menampilkan perbezaan perincian yang ada. Imej teaser sebelum ini menunjukkan gril depan dengan corak bentuk L, sementara Yaris Cross menggunakan bentuk U. Dalam imej terbaru ini pula lebih jelas kelihatan sosok kereta ini, dengan mendedahkan bahagian bampar depan yang mempunyai kemasan di sudut yang berbeza daripada Yaris Cross.
Sistem janaan bagi Perodua Nexis/Traz ini masih belum disahkan. Bagaimanapun, jika merujuk kepada Yaris Cross di Indonesia, ia dilengkapi dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT atau manual lima-kelajuan. Pasaran Thailand pula turut menerima versi hibrid dengan enjin 2NR-VEX 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 91 PS/121 Nm yang diganding bersama sebuah motor elektrik 80 PS/141 Nm untuk menghasilkan output keseluruhan 111 PS.

Tentu ada banyak persamaan antara Perodua crossover B ini dengan Toyota Yaris Cross. Model Toyota terbabit juga telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP pada Ogos lalu. Untuk nama Nexis atau Traz, ia telah difailkan untuk tanda dagang di bawah Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) oleh Perodua sejak lebih tiga tahun lalu.
Hantaran di Instagram Perodua juga menyebutkan lima hari lagi, merujuk kepada pengenalan rasmi untuk Nexis/Traz untuk pasaran tempatan, yang dijadualkan minggu depan. Crossover segmen B ini diposisikan di atas Ativa, yang bermula dengan harga RM62,500 atas jalan belum termasuk insuran, hingga kepada
RM73,100 atau RM73,400 untuk varian AV dengan pilihan dua-tona warna. Berapa harga permulaan yang sesuai untuk Nexis/Traz?
The post Perodua tunjuk lagi <em>teaser</em> Nexis/Traz — D66B dari Toyota Yaris Cross dilancarkan minggu depan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






