Nampaknya Proton kini semakin kerap dilihat menguji eMas 7 dalam versi PHEV – gambar terbaharu eMas 7 ‘dua alam’ (ada enjin petrol dan boleh dicas semula seperti EV) berkenaan telah dimuat naik oleh seorang yang tidak mahu dikenali di Proton eMas 7 Owners Malaysia Facebook group.
Proton eMas 7 PHEV ini diasaskan dari Geely Starship 7, yang merupakan versi PHEV bagi Geely Galaxy E5/EX5. Pada sebelah luar, Starship 7 tampil dengan beberapa perincian berbeza berbanding EX5 termasuk lampu dan juga bampar hadapan. Selain itu versi hibrid enjin pembakaran dalaman dan teknologi elektrifikasi ini juga menampilkan pembuka pintu konvensional (tenggelam pada EX5/eMas 7) dan juga perumah nombor pendaftaran belakang yang dialih dari bampar ke pintu tailgate – kedua-dua ciri inilah yang mengesahkan bahawa unit prototaip ujian ini adalah eMas 7 PHEV.
Sekali tengok bentuk badan versi PHEV ini sama sahaja dengan EV EX5/eMas 7, namun sebenarnya ia hadir dengan saiz sedikit lebih besar. Untuk Starship 7, ukuran badannya menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan juga jarak roda sejauh 2,755 mm. Jadi berbanding EX5/eMas 7, saiz untuk Starship 7/eMas 7 PHEV ini sebenarnya sedikit berbeza kerana ia 125 mm lebih panjang, 4 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak rodanya juga adalah 5 mm lebih jauh.
Model ini juga akan menyaksikan Proton akan sekali lagi menggunakan khidmat enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder yang dikenali sebagai i-GT, yang kini sudahpun berada dalam perut X50 facelift dan Saga MC3. Ini kerana untuk Starship 7, ia tampil dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai EM-i, menggandingkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA yang didakwa mencapai kecekapan haba 46.6% dan dipadankan bersama transmisi hibrid khas (E-DHT).
Bagi eMas 7 PHEV, ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa EM-i berkenaan dalam versi eksport yang telahpun dilancarkan di Australia (dikenali sebagai EX5 EM-i), di mana enjin 1.5 liter BHE15PFI yang dipadankan menghasilkan kuasa 99 PS dan tork 125 Nm, manakala dua motor elektrik dalam E-DHT pula membekalkan kuasa keseluruhan 218 PS dan tork 320 Nm. Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat serta mencapai kelajuan maksima 170 km/j.
Model pasaran Australia itu juga dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 18.kWj. Ini memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 84 km, dan dengan satu tangki petrol penuh bersama satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 943 km – kedua-dua angka ini dikira berdasarkan kitaran WLTP.
Sebagai model PHEV, bateri pada Galaxy Starship 7 turut boleh dicas semula seperti EV sebenar dan mampu menerima pengecas AC 6 kW dan pengecas pantas DC sehingga 30 kW. Malah fungsi vehicle-to-load (V2L) juga boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain sama seperti EV sebenar.
Proton sebenarnya sudahpun memfailkan nama eMas 7 PHEV ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2024. Malah kilang EV baharu Proton di Tanjong Malim yang telah mula beroperasi sejak September lalu juga sememangnya direka membolehkan ia memasang model dengan unit rangkaian kuasa PHEV ini. Dengan ujian kerap boleh kita tengok sekarang, mungkin Proton eMas 7 ini boleh dilancarkan oleh Proton tahun depan?
GALERI: Geely EX5 EM-i 2025 pasaran Australia
GALERI: Geely Starray EM-i versi pemanduan sebelah kanan di GIIAS 2025
GALERI: Geely Galaxy Starship 7 versi pemanduan sebelah kiri pasaran China di Auto Shanghai 2025
The post Proton eMas 7 PHEV sekali lagi dijumpai diuji – enjin petrol 1.5L, boleh cas macam EV, lancar tahun depan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































