Ada sebuah lagi model dari versi dipertingkat keluaran Proton dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia oleh seorang pembaca paultan.org, dengan nama samaran Arashikage — iaitu Proton X90 MC1 facelift.
Daripada gambar yang diperoleh, penampilan luarannya kelihatan masih sama seperti model sedia ada — wajah depan yang masih mirip yang lama, serta rekaan rim juga nampak masih dikekalkan. Dan untuk itu, dimensi luarannya juga dijangka masih sama dengan 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,785 mm tinggi dengan jarak roda 2,815 mm.
Ketika di pameran Proton Tech Showcase yang diadakan awal Disember, kita tahu bahawa SUV dengan tiga baris tempat duduk ini, serta model-model baru yang akan datang, akan menerima enjin 1.5 i-GT turbocas empat-silinder seperti yang digunakan oleh Proton X50 facelift yang dilancarkan Julai lalu.

Janaan enjin berkenaan ialah 181 PS dan 290 Nm, manakala untuk X50, ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Ini bakal menjadikan X90 akan datang hadir tanpa sistem mild-hybrid 48-volt yang ditawarkan ini, yang digandingkan bersama enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol dengan janaan 190 PS dan 300 Nm.
Untuk ruang dalaman, belum jelas sama ada akan diberi pembaharuan atau tidak. Jika melihat kepada model “saudaranya” Geely Haoyue L facelift yang didedahkan bulan lalu, ia hadir dengan rekaan papan pemuka yang berbeza dengan adanya skrin sentuh infotaimen 14.6-inci dan paparan instrumen panel 10.2-inci. X90 ketika ini dilengkapi unit infotainmen 12.3-inci.
Haoyue L facelift juga menampilkan susuna konsol tengah yang berbeza, yang mana pemilih gear diletak bersebelahan dengan sepasang ruang cawan. Model Geely berkenaan juga ditawarkan dalam konfigurasi lima, enam atau tujuh-tempat duduk, Proton X90 pula dijangka akan hanya ditawarkan sebagai SUV tiga baris dengan tujuh tempat-duduk.
The post Proton X90 MC1 dilihat — bakal guna enjin 1.5T i-GT 4-silinder, rekaan kekal, tiada lagi ciri 48V mild-hybrid appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






