Mungkin anda agak terkejut bila membaca laporan berita bahawa pesalah trafik yang gagal melunaskan tunggakan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Dis ini, berhadapan dengan risiko kehilangan kelayakan subsidi petrol atau Budi Madani RON 95 (Budi95).

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli seperti mana yang dilaporkan oleh The Star sebelum ini.

Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke telah memberikan respons berkenaan perkara ini dan berkata bahawa saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol Budi95 merupakan dua mekanisme yang berbeza dan beroperasi secara berasingan.

Saman tertunggak tidak jejas kelayakan Budi95 – Loke

“Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik. Mengikut dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol Budi95, pemohon perlu mematuhi syarat asas seperti mestilah warga negara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan mesti memiliki lesen memandu yang aktif,” katanya selepas merujuk kepada sebahagian laporan media berhubung dakwaan kegagalan menjelaskan saman akan menyebabkan penerima Budi95 kehilangan kelayakan subsidi berkenaan.

Tambah beliau, lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen yang masih dalam tempoh sah atau yang tarikh luputnya tidak melebihi tiga tahun.

“MOT menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Jadi, anda kekal layak menikmati subsidi Budi95 walau pun masih ada saman tertunggak yang dikeluarkan oleh JPJ, selagi lesen memandu masih sah atau belum tamat tempoh melebihi tiga tahun. Walau bagaimana pun, kena ingat, jika masih culas melunaskan saman tertunggak, anda berhadapan dengan risiko bakal disenaraihitamkan dari memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Maka, jadilah seorang pengguna jalan raya yang bertanggungjawab!

The post Saman tertunggak tidak jejas kelayakan Budi95 – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: