Bagi pengguna bahan api Shell, Budi Madani RON 95 (Budi95) kini sudah disepadukan di dalam aplikasi mudah alih untuk capaian umum. Pengguna hanya perlu melengkapkan pengesahan sekali untuk e-KYC Touch ‘n Go (TnG). Seteleh selesai, pengguna boleh menekan butang Budi95 untuk membeli bahan api itu dengan harga bersubsidi RM1.99 dari dalam aplikasi berkenaan.
Pautan aplikasi TnG eWallet kepada aplikasi Shell ini hanyalah bertujuan untuk mengesahkan kelayakan anda untuk menikmati Budi95 dan memaparkan baki bulanan. Pengguna masih perlu memautkan kad kredit atau debit bagi tujuan pembayaran menerusi aplikasi Shell. Jika ingin membayar menggunakan eWallet, gunakan aplikasi TnG eWallet buat masa ini — bayaran melalui eWallet di dalam aplikasi Shell ini masih dalam pembikinan.
“Kami yakin aplikasi Shell yang dipertingkat dengan Budi95 akan membantu warga Malaysia yang mahukan cara untuk memaksimum setiap ringgit yang mereka belanjakan. Di Shell, matlamat kami adalah untuk memudahkan proses pengisian minyak oleh pelanggan dan ada banyak manfaat lain,” jelas Pengarah Urusan, bahagian Mobiliti dan Kemudahan Shell di Malaysia, Seow Lee Ming.
“Hari ini, peningkatan bagi aplikasi Shell mempertemukan semua keperluan pengguna Malaysia di satu tempat — dari keselamatan pembayaran dan tawaran khusus hinggalah kepada capaian pantas kepada Budi95. Dengan mempertemukan keselesaan dan ganjaran menarik, kami ingin menjadikan pengelaman isian semula bahan api lebih mudah dan berbaloi,” tambahnya.
The post Shell App kini ada ciri Budi95 — nikmati RON 95 bersubsidi, bayar guna kad kredit/debit yang dipautkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























