Xpeng dalam satu kenyataan menyebutkan yang syarikat itu sedang berunding dengan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka untuk memasang EV di Malaysia pada 2026, lapor The Edge. Pengeluar kenderaan China itu menjelaskan mereka sasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi strategik bagi perluasan model pemanduan sebelah kanan ASEAN.
Pada September, EPMB mengeluarkan saham mewakili 30% daripada perkongsian modal yang dikeluarkannya. 15% pergi kepada pemegang taruh terbesarnya, Mutual Concept. Sementara baki 15% pula pergi kepada Bermaz Capital, sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ini bakal menyaksikan syarikat itu memiliki sebanyak 11.54% kepentingan dalam EPMB. Bermaz adalah pengedar kenderaan Xpeng di Malaysia.
Walaupun belum ada pengumuman model mana yang akan dipasang di Malaysia, Xpeng ketika ini menjual model G6 SUV dan X9 MPV di Malaysia — dengan model MPV berkenaan sudah juga mula dipasang di Indonesia.

Bermula sebagai pembekal komponen Tier-1, EPBM kini merupakan pemasang-kontrak bagi kereta-kereta daripada pengeluar seperti Great Wall Motor (GWM), BAIC dan yang akan datang, MG. Ia juga baru memasuki “Fasa 2” — yang melonjakkan kapasiti pengeluarannya daripada 6,000 kepada 30,000 unit pada masa GWM Wey G9 pertama keluar daripada kilangnya.
Berdepan dengan perang harga di pasaran asalnya serta kekangan sempadan perdagangan yang dipengaruhi oleh kesan geo-politik, pengeluar EV China tidak ada jalan lain selain masuk ke pasaran eksport — dengan tumpuan utama untuk mewujudkan pangkalan pengeluaran di seluruh dunia. Di Malaysia, EV CBU tidak lagi akan diberikan pengecualian cukai bermula tahun depan (yang boleh meningkatkan harganya sebanyak 30%-100%). Maka, pengeluar yang ingin terus kompetitif perlu memasang EV mereka di sini.
Pengeluar yang sudah memasang EV di Malaysia adalah termasuk Proton, Perodua, Volvo, Chery, Mercedes-Benz dan TQ Wuling. BYD sedang merancang sebuah kilang di Tanjung Malim, Zeekr pula mungkin melakukannya di kemudahan Automotive Hi-Tech Valley juga di Tanjung Malim dan Leapmotor dijangka akan menggunakan kilang Stellantis di Gurun. Bagi jenama yang belum ada perancangan CKD pada 2026, boleh dijangkakan harga unit CBU-nya akan meningkat naik.
The post Xpeng bincang dengan EPMB untuk CKD EV di M’sia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






