Perodua QV-E yang baru saja dilancarkan semalam turut menerima penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan ASEAN NCAP. Kelengkapan keselamatan bagi kenderaan Perodua sememangnya lengkap, tetapi dengan QV-E, ada beberapa perincian terbaru yang diperkenalkan.
Untuk mengelakkan kejadian pemandu yang terlupa ada kanak-kanak di kerusi belakang, Perodua kini memperlenalkan ciri Child Presence Detection (CPD) yang menggunakan gelombang milimeter untuk mengesan pergerakan dan pernafasan di kerusi belakang, walaupun kanak-kanak terbabit diselimuti fabrik. Sekiranya kereta sudah dimatikan dan CPD mengesan masih ada kanak-kanak di dalam kabin, ia akan membunyikan hon dan menyalakan lampu. Amaran peringkat kedua pula melibatkan aplikasi dan makluman SMS.
CPD ini berfungsi juga pada waktu malam, dan sehingga 85 darjah-Celsius. Untuk haiwan peliharaan, mereka juga akan dapat dikesan. Ada juga butang SOS untuk kecemasan di atas cermin pandang belakang, yang boleh anda tekan sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan. Ia dipautkan ke Perodua Auto Assist dan bantuan menyelamat MERS 999.
Semua ini diterjemahkan di dalam pencapaian ujian NCAP, yang mana QV-E menerima penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP dalam protokol 2021-2025 semasa. EV ini mencatatkan bacaan 88.36 mata, dengan pecahan seperti berikut: Adult Occupant Protection (AOP) dengan 29.31 mata daripada 32 dan Child Occupant Protection dengan 42.67 mata daripada 51.
Bagi segmen Safety Assist, bacaan yang diraih ialah 21/21, manakala bagi segmen Motorcyclist Safety, QV-E mencatatkan mata 12/16.
The post Perodua QV-E terima penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP dengan catatan keseluruhan 88.36 mata appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











