UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyiarkan teaser model Yaris Cross menerusi laman Facebook rasminya, memberikan petanda bahawa kembar kepada Perodua Traz ini sedang menantikan detik pelancarannya di pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, UMWT tidak mendedahkan jangkaan detik pelancarannya itu.
Mula diperkenalkan di peringkat global di Indonesia pada Mei 2023, SUV segmen-B yang akan tiba di pasaran kita merupakan model spesifik ASEAN dan berbeza dengan yang dijual di Eropah. Dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Yaris Cross berukuran 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar dan jarak roda cecah 2,525 mm, tetapi ia sedikit rendah berbanding Traz iaitu 1,615 mm berbanding model Perodua itu (1,655 mm).
Jika anda tertanya-tanya adakah Yaris Cross lebih besar atau kecil berbanding SUV yang menyainginya, ini yang boleh diteliti:
Honda HR-V
- Panjang: 4,347-4,387 mm
- Lebar: 1,790 mm
- Tinggi: 1,590-1,591 mm
- Jarak roda: 2,610 mm

Proton X50
- Panjang: 4,380 mm
- Lebar 1,795 mm
- Tinggi: 1,609 mm
- Jarak roda: 2,600 mm
Mitsubishi Xforce
- Panjang: 4,390 mm
- Lebar: 1,810 mm
- Tinggi: 1,660 mm
- Jarak roda: 2,650 mm
Chery Omoda O5
- Panjang: 4,400 mm
- Lebar: 1,830 mm
- Tinggi: 1,588 mm
- Jarak roda: 2,630 mm
Chery Tiggo Cross
- Panjang: 4,318 mm
- Lebar: 1,830 mm
- Tinggi: 1,670 mm
- Jarak roda: 2,610 mm

Buat masa ini, UMWT masih ‘mengunci mulut’, jadi kita belum tahu dengan tepat pilihan penjana kuasa yang akan ditawarkan untuk Yaris Cross. Model kembarnya, Traz, dikuasakan oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder sebaris tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan 138 Nm tork, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui D-CVT (CVT Mod Dwi) milik Daihatsu.
Konfigurasi ini adalah yang digunakan pada Yaris Cross di Indonesia, walaupun terdapat juga pilihan transmisi manual lima-kelajuan selain D-CVT. Pasaran tersebut turut menawarkan Yaris Cross dengan penjana kuasa hibrid, yang berasaskan enjin 2NR-VEX dengan kapasiti sama 1.5 liter dan tanpa pengecas turbo tetapi beroperasi menggunakan kitaran Atkinson.
Enjin tersebut menghasilkan 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan 121 Nm, dipadankan dengan CVT serta dibantu oleh motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan 141 Nm untuk jumlah kuasa sistem sebanyak 111 PS (110 hp atau 82 kW). Di negara jiran kita, Thailand hanya menawarkan Yaris Cross dengan versi hibrid. Memandangkan usaha elektrifikasi oleh UMWT, tidak mustahil kita juga akan menerima varian hibrid.

Untuk kedua-dua pasaran Indonesia dan Thailand, Yaris Cross turut diberikan kelengkapan Toyota Safety Sense dengan fungsi ADAS termasuk kawalan keluncuran adaptif, di mana ia tidak langsung ditawarkan buat Traz. Seperti yang kita lihat pada model kembar Veloz dan Alza, versi Toyota berkemungkinan lebih premium dengan lebih banyak ciri serta mungkin harga permulaan yang lebih tinggi.
Pasaran SUV segmen-B dijangka menjadi lebih kompetitif berbanding sebelum ini dengan kembalinya Toyota ke dalam pasaran selepas pengunduran C-HR. Sementara kita menunggu UMWT memberikan lebih banyak maklumat, adakah anda teruja dengan ketibaan Yaris Cross? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah.
GALERI: Toyota Yaris Cross pasaran Indonesia
The post Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















































