Mana-mana pemandu e-hailing yang cuma mencatatkan jumlah perjalanan bulanan di bawah 2,000 km secara automatik tidak layak menerima tambahan kuota melalui program Budi Madani RON95 (Budi95) untuk bulan berikutnya, laporan Berita Harian.

“Bermakna jarak perjalanan perkhidmatan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi bulan terdahulu menjadi penentu kepada siling kelayakan. Di mana untuk kategori pertama jarak perjalanan e-hailing tidak melebihi 2,000km pada bulan sebelumnya akan kekal menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter sebulan.

“Kedua, jarak perjalanan e-hailing antara 2,000km ke 5,000km pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan BUDI95 sebanyak 300 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 600 liter, termasuk kelayakan asas. Ketiga, jarak perjalanan e-hailing 5,000km ke atas pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan sebanyak 500 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 800 liter,” kata Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Senator Dr RA Lingeshwaran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan boleh diambil ke atas pemandu atau EHO sekiranya mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem.

Budi95: Pemandu e-hailing dengan perjalanan bulanan bawah 2,000 km tidak layak dapat kuota tambahan

“Pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar ini secara langsung menutup ruang ketirisan kepada pemandu tidak aktif, pemandu sambilan minimum atau akaun yang disalah guna, di samping memastikan subsidi hanya disalurkan kepada pemandu yang benar-benar bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan secara corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dari semasa ke semasa dan penambahbaikan akan dibuat sekiranya perlu bagi memastikan mekanisme Budi95 kekal berkesan, bersasar dan mampan pada jangka panjang,” katanya.

Beliau turut berkata, setakat Disember ini, daripada keseluruhan 164,000 pemandu e-hailing yang diterima oleh EHO, lebih 106,000 atau 65% layak menikmati siling Budi95 sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.

Jelas beliau, jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan dari semua EHO dan pengesahan data itu dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

Di mana hanya pemandu warganegara mempunyai lesen memandu Passenger Service Vehicle (PSV) dan permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan. “Bagi mengelak ketirisan subsidi kepada pemandu tidak aktif dan tak sah, EHO diwajibkan mengumumkan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih pada awal setiap bulan kepada APAD dan LPKP,” katanya lagi.

The post Budi95: Pemandu e-hailing dengan perjalanan bulanan bawah 2,000 km tidak layak dapat kuota tambahan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: