Jika di Jepun ada tiga jenama utama yang digelar sebagai “The Big Three” mendominasi pasaran negara tersebut, di China pula ada empat jenama yang memegang takhta yang sama iaitu BYD, Chery, Geely dan Changan. Tiga dari daripada empat kuasa besar itu sudah pun bertapak di Malaysia, dan tidak lama lagi Changan pula akan berada di sini.
Itulah sebabnya pagi tadi kami berada di Chongqing Xibu Automobile Proving Ground di China atas jemputan Changan Automobile, iaitu untuk memperkenalkan barisan model-model terbaharunya serta menunjukkan beberapa model yang berpotensi untuk dilancarkan di Malaysia kelak. Seperti jenama-jenama China lain yang mempunyai sub jenama bagi membezakan status dan sasaran pelanggan yang berbeza, Changan juga tidak lari dari konsep yang sama.
Changan berdiri sebagai jenama asal syarikat yang bertapak di Chongqing ini, dan menyediakan barisan model-model arus perdana dan sesuai untuk kenderaan keluarga. Untuk kenderaan elektrik penuh (EV) yang dijual sama tahap seperti Changan, syarikat berkenaan mewujudkan satu sub jenama yang dikenali sebagai Nevo.
Manakala bagi model-model yang berada satu tahap di atas Nevo dan juga diberikan ‘perisa’ yang lebih sporty, ia dijual di China dengan sub jenama dikenali sebagai Deepal – kami sempat merasa memandu sekejap model-model Deepal ini, dan karekter yang mahu ditunjukkan benar-benar terserlah dengan rekaan-rekaan bumbung lebih rendah, pintu tanpa kerangka tingkap serta talaan suspensi yang lebih tertumpu pada aspek prestasi.
Dan jika Toyota ada Lexus, model paling premium dan berada pada kelas mewah untuk Changan pula dijual dengan jenama Avatr di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Changan Nio.
Tiada senarai model yang benar-benar disahkan akan dilancarkan ke pasaran tempatan, namun Changan ada menyebut beberapa model yang berpotensi besar akan di bawa ke Malaysia kelak. Changan dijangka akan secara rasmi mengumumkan keberadaannya di Malaysia pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini, dan barisan “model-model berpotensi” ini mungkin dapat dilihat sini bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Antara model-model tersebut adalah SUV Changan CS55 dalam versi enjin pembakaran dalaman dan hibrid, Nevo, Deepal S05 dan Deepal S07. Untuk jenama mewah Avatr pula, model-model yang dijangka akan dibawa adalah Avatr 07 dan Avatr 11.
Changan turut berminat untuk melancarkan trak pikap Hunter di Malaysia. Dan apa yang menarik ia bukanlah dari varian enjin diesel seperti yang kami lihat hari ini, tetapi Changan ada rancangan untuk membawa trak pikap tersebut dalam versi hibrid REEV (Range Extender EV, lebih kurang teknologi Nissan e-Power) di mana ia sudahpun dilancarkan di Thailand dengan nama Deepal Hunter K50.
Di China, Changan juga ada satu lagi sub jenama yang diberi nama sebagai Lumin, iaitu jenama EV mampu milik yang bersaiz sangat kecil. Namun kami difahamkan bahawa Lumin tidak akan di bawa ke Malaysia kerana kurang sesuai di sini.
Untuk pasaran Malaysia kelak, jenama Changan, Nevo dan Deepal akan diletakkan di bawah satu bumbung dan akan dikenali dengan nama Changan, Changan Nevo dan Changan Deepal. Namun untuk Avatr, ia akan dijual menerusi jaringan dan fasiliti berbeza dan berdiri sendiri menggunakan namanya.
Walaupun buat masa sekarang Changan sudahpun mempunyai fasiliti pemasangan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di Rayong, Thailand yang mula beroperasi pada bulan Mei tahun lalu, bagi memastikan model-model yang dijual di sini dapat dijual pada harga yang kompetitif, syarikat tersebut mensasarkan untuk menjalankan operasi pemasangan tempatannya (CKD) di Malaysia.
Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Changan tentang bagaimana operasinya di Malaysia kelak – sama ada berdiri sebagai entiti sendiri atau bersama rakan kongsi tempatan, namun ada khabar angin yang memetik nama Berjaya untuk usaha ini.
Apa pun ini cuma khabar angin, dan rancangan sebenar mungkin akan diketahui tidak lama lagi yang diumumkan oleh Changan sendiri. Untuk rekod, pengedar jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz sebelum ini pernah dilaporkan telah mendapat hak pengedaran untuk menjual jenama Deepal di sini pada 2024 dengan jangkaan Deepal S05 dan S07 dilancarkan pada pertengahan tahun lalu. Jadi dengan perkembangan terbaharu ini, jelaslah mengapa dua model tersebut masih lagi belum dilancarkan.
GALERI: Changan CS55, LHD
GALERI: Nevo Q05, LHD
GALERI: Deepal S05, LHD
GALERI: Avatr 07, LHD
GALERI: Changan Hunter Plus (diesel), LHD
The post Changan Auto bakal ke pasaran Malaysia – bawa model Nevo, Deepal dan Avatr, dijangka Q3 tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















































