Hujung tahun lalu pasukan lumba yang berpengkalan di Gothenburg, Sweden iaitu Cyan Racing mengumumkan bahawa untuk musim 2026 bagi siri perlumbaan TCR World Tour ia tidak akan lagi mewakili jenama Lynk & Co, sebaliknya akan beralih ke jenama induk divisi mewah dari China itu iaitu Geely sendiri. Dan jentera yang dipilih untuk menggantikan sedan Lynk & Co 03 TCR berkenaan disahkan adalah Geely Preface.
Dan ini dia, rupa awalan Geely Preface TCR pasukan Cyan Racing telahpun didedahkan. Buat masa sekarang belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Cyan Racing, manakala imej Geely Preface TCR bersama pengerusi Geely iaitu Li Shufu ini disiarkan oleh laman TouringCarTimes yang menyatakan bahawa jentera lumba itu didedahkan dalam satu pembentangan platform Geely di China semalam.
“Geely membawa teknologi enjin pembakaran dalaman China ke ‘peringkat tertinggi di dunia’. ‘Kuasa China’ akan meneruskan penaklukannya ke atas perlumbaan litar TCR peringkat tertinggi dunia!”, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Geely Group Motorsport China, lapor TouringCarTimes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa Cyan Racing kini sedang menguji Geely Preface TCR tersebut di litar-litar sekitar Eropah sebelum ia membuat kemunculan di pusingan pertama TCR World Tour 2026 di Misano, Itali pada 8 hingga 10 Mei ini.
Geely Preface dan juga Lynk & Co 03 sebenarnya berkongsi asas yang sama iaitu dibina menggunakan platform CMA dihasilkan oleh Volvo yang turut menjadi asas kepada model seperti Volvo XC40. Kedua-dua model itu juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo yang sama, di mana enjin berkenaan kini dikilangkan oleh Aurobay di Sweden. Aurobay kini merupakan divisi di bawah Horse Powertrain, iaitu firma yang membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa berasaskan enjin pembakaran dalaman, juga milik Geely.
Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.
Cyan Racing sebelum ini merupakan pasukan lumba yang membawa jenama Volvo dan divisi prestasinya iaitu Polestar sehingga memenangi gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan pengeluar pada World Touring Car Championship (WTCC) 2017.
Selepas Geely mengasingkan Polestar dari Volvo untuk menjadi jenama kereta sport bebas, Cyan Racing mula berlumba dengan Lynk & Co pada 2019 dengan jentera Lynk & Co 03 TCR. Sepanjang tujuh tahun berlumba, Lynk & Co Cyan Racing berjaya menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam FIA TCR World Tour.
The post Geely Preface TCR Cyan Racing 2026 – imej awalan kereta lumba pengganti Lynk & Co 03 TCR didedahkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








