Peningkatan kos bahan binaan dan perbelanjaan operasi, khususnya diesel, dijangka menyebabkan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan di seluruh negara alami kelewatan, laporan Bernama.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Ahmad Maslan, peningkatan jumlah projek yang tertangguh, dan kelewatan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan kos berkaitan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
“Kita ada 855 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, tetapi membabitkan 28 kementerian. Data sebelum krisis ini, satu pertiga projek siap awal jadual, satu pertiga ikut jadual dan satu pertiga lagi lewat daripada jadual. Saya khuatir yang lewat jadual itu bertambah akibat masalah kenaikan harga barang,” katanya

Tambahnya, akibat kenaikan harga diesel, sektor yang paling terjejas ialah kontraktor penyelenggaraan jalan dan yang membuat jalan baharu.
“Itu yang terjejas terus, jika membuat bangunan, mereka boleh menghabiskan bahan binaan sedia ada di tapak bina dan ia tidak membabitkan pergerakan mesin. Kalau jalan, ia jadi hal kerana kalau mesin tak bergerak, kerja tak berjalan. Mesin nak bergerak, diesel kena isi, sedangkan harganya terus meningkat,” katanya.
Kedua-dua projek penyelenggaraan jalan sedia ada dan pembinaan jalan baharu terkesan secara langsung, manakala projek pembinaan bangunan agak dilindungi oleh stok bahan sedia ada. Namun begitu, walaupun terdapat kebimbangan sebegini, kontraktor tidak dibenarkan menghentikan kerja, kata Ahmad Maslan.
The post Projek selenggara dan pembinaan jalan raya dijangka alami kelewatan susulan peningkatan kos – KKR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






