Mana-mana pemandu yang mengabaikan isyarat trafik dan lintasan pejalan kaki berdepan tindakan yang boleh menjejaskan lesen memandu mereka, termasuk penggantungan. Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Zulkarnain Yasin, pesalah boleh dipanggil oleh jabatan untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Peruntukan ini membolehkan pegawai penguatkuasa meminta pemandu memberikan maklumat atau penjelasan semasa siasatan. Jika didapati bersalah, saman akan dikeluarkan,” katanya kepada NST.

Zulkarnain menambah, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM300, dan jika dibawa ke mahkamah, boleh berdepan denda sehingga RM2,000. Kegagalan mematuhi lampu isyarat merupakan kesalahan serius kerana ia menyumbang kepada mata demerit di bawah sistem Kejara. Beliau turut memberi amaran bahawa pemegang lesen yang mengumpul 20 mata demerit atau lebih berisiko digantung atau dibatalkan lesen memandu jika kesalahan berterusan.

Kenyataan Zulkarnain ini susulan dua kejadian tular baru-baru ini yang melibatkan kawasan sekolah dan lintasan pejalan kaki. Dalam salah satu kejadian yang dilaporkan berlaku berhampiran sebuah sekolah rendah di Taman Universiti, seorang kanak-kanak dilanggar akibat sebuah kenderaan gagal berhenti sebelum lintasan pejalan kaki. Satu lagi kejadian tular turut melibatkan pelajar di lintasan pejalan kaki, di mana sebuah kereta tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah dan terus bergerak ketika pelajar sedang melintas jalan.

The post Pemandu yang abaikan isyarat trafik dan lintasan pejalan kaki boleh digantung lesen memandu – JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: