Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan kemas kini harga bahan api mingguan bagi tempoh 22 hingga 29 April 2026, dengan pengguna sekali lagi akan dapat menikmati penurunan harga bagi kebanyakan bahan api utama.

Bagi diesel, harga runcit untuk gred B10 dan B20 turun sebanyak 85 sen kepada RM5.12 seliter berbanding RM5.97 seliter pada minggu sebelumnya. Seiring itu, diesel Euro 5 B7 yang lazimnya lebih mahal 20 sen kini ditetapkan pada harga RM5.32 seliter untuk tempoh sama.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel kekal tidak berubah pada RM2.15 seliter. Dalam masa sama, bantuan tunai di bawah program Budi Madani bagi diesel telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM400. Penambahan RM100 tersebut telah mula disalurkan pada 21 April, menjadikannya kenaikan kedua selepas pelarasan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac lalu.

Bagi petrol pula, harga RON 95 bersubsidi di bawah skim Budi Madani RON 95 kekal pada RM1.99 seliter. Pengguna yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga ini dengan kuota bulanan yang kini diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan. Sementara itu, harga RON 95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.87 seliter, manakala RON 97 mencatat penurunan 25 sen kepada RM4.85 seliter.

Kesemua harga baru ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 29 April 2026. Ia merupakan pengumuman ke-18 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-381 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

The post Harga minyak 23-29 April 2026 – semua turun; diesel jadi RM5.12 seliter, RON95 RM3.87, RON97 RM4.85 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares: